"Hari itu aku sampai di rumah bersama ayahngah dalam jam 1230 tengah hari. Ayah sambut aku di muka pintu rumah dan segera peluk aku dengan erat sambil menangis. Aku bertambah sebak pabila terpandang sekujur tubuh di tengah rumah. Aku menyalami semua sedara mara aku sambil tercari-cari ibuku. Aku menjengah ke setiap bilik tetapi aku tetap tak menemui ibu. Sehinggalah ke bilik yang terakhir iaitu bilik aku. Kelihatan ibu baru selepas menunaikan solat. Usai ibu berdoa, segera aku memeluknya. 'Anak ibu dah tiada ika', dalam esak tangis ibu bersuara. Aku masih ingat lagi wajah sedih ibu"
"Di hadapan jenazah angah, aku kuatkan hati menyingkap kain batik yang menutupi wajahnya. Luluh hati aku apabila memandang wajah angah yang tidak aku kenali lagi. Bahagian kepalanya yang berlipat kesan dijahit(post-mortem), matanya sudah terperosok ke dalam, hidung rata, bibir yang tiada bentuk lagi, gigi yang tidak teratur dan menurut bedah siasat yang dijalankan bahagian kiri badannya memang rosak teruk. Jika angah mempunyai peluang hidup pun, angah akan lumpuh seumur hidup."
"Selesai memandikan dan mengkapankan angah, jenazah angah dibawa ke masjid untuk disembahyangkan memandangkan rumah aku tak dapat menampung semua jemaah. Ramainya kenalan angah sehinggakan 2 bas dari IKBN Dusun Tua turut menziarahi arwah. Alhamdulillah segalanya berjalan lancar sehinggalah talkin selesai di baca dan kuburnya dikambus tanah."
"Selepas 3 hari di rumah, aku pulang semula ke asrama untuk meneruskan peperiksaan aku yang tergendala. Walaupun fikiran aku tiada di kertas peperiksaan tetapi aku tetap tabahkan hati menjawab peperiksaan. Aku masih ingat lagi hari jumaat minggu yang sama, ayahanda kawan aku pula meninggal dunia diikuti hari isnin minggu depannya ibunda senior aku pula."
"Ada orang pernah berkata minggu peperiksaan adalah minggu paling mencabar bagi seseorang pelajar. Aku tak tahulah sejauh mana kebenarannya tetapi bagi aku setiap hidupan di dunia ini pasti akan bertemu Penciptanya. Bila-bila masa dan tidak kira di mana kita berada. Semoga roh-roh insan kesayangan kita sentiasa di bawah lembayung rahmatNYA. AL-FATIHAH"
No comments:
Post a Comment